Tuesday, July 31, 2012

Organisasi bukan kerajaan (NGO) merupakan saluran penyertaan politik yang penting dalam masyarakat sivil di Malaysia.

Pertubuhan bukan kerajaan non-government organisation atau NGO) merupakan pertubuhan yang ditubuhkan oleh pihak atau pertubuhan swasta yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana kerajaan. Terdapat beberapa jenis badan bukan kerajaan yang telah wujud hasil isu-isu dalam pembangunan di Malaysia. Setiap badan bukan kerajaan mempunyai matlamat atau kepentingan tersendiri dan menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk mempengaruhi kerajaan yang bersifat ‘neutral’ dalam membentuk sesuatu dasar Dari aspek teoritikalnya, kewujudan dan aktivisme badan bukan kerajaan dapat dikenalpasti dalam kerangka masyarakat sivil . Ciri-ciri utama masyarakat sivil adalah kewujudan badan bukan kerajaan sebagai aktor utama dalam memainkan peranannya untuk menciptakan ruang yang seluas-luasnya dalam berkomunikasi di antara kalangan orang awam dengan kerajaan. Ruang komunikasi ini berkaitan dengan masalah-masalah kemasyarakatan yang dilakukan secara bebas dan berdikari dari campur tangan mana-mana pihak. Sedangkan, ditinjau secara konseptual, badan bukan kerajaan adalah satu medium bagi penyertaan sosial dan politik rakyat demi menciptakan hubungan yang lebih berkesan dengan pihak kerajaan. Banyak juga badan bukan kerajaan ditubuhkan bagi membantu pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, bahkan sesetengahnya pula diwujudkan sendiri oleh kerajaan atas sebab pelbagai kepentingan politik, pentadbiran dan pelaksanaan dasar kerajaan. Namun ada juga badan bukan kerajaan yang diasaskan atas tujuan mencabar kelemahan-kelemahan kerajaan atau menawarkan ideologi alternatif. Badan bukan kerajaan dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai non-governmental organization . Badan bukan kerajaan merupakan kumpulan yang dibentuk berasaskan kepentingan umum ahli-ahlinya. Sifat-sifatnya ialah tidak mewakili kerajaan, tidak menjalankan fungsi-fungsi kerajaan, tidak memperolehi autoriti langsung kerajaan dan tidak membawa agenda kerajaan sebaliknya terbentuk atas dasar sukarela. Apa yang penting bagi sesebuah badan bukan kerajaan adalah untuk mewakili kepentingan golongan-golongan tertentu yang tidak memiliki perwakilan dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan dalam sistem politik negara. Tambahan, kewujudan badan bukan kerajaan secara tidak langsung meringankan bebanan kerajaan, menyediakan fungsi semak dan imbang serta menyuburkan amalan demokrasi. Kajian mengenai penyertaan politik di negara ini masih berfokus kepada struktur parti politik, kesatuan sekerja dan media. Memang ada kajian mengenai struktur politik pertubuhan bukan kerajaan , namun daripada analisis yang dibuat, kebanyakan kajian itu masih di peringkat permukaan sifatnya. Justeru, kajian mengenai badan bukan kerajaan harus digiatkan lagi berikutan penting strukturnya dalam konteks politik moden, lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang mendapati matlamat penyertaan politik badan bukan kerajaan tidak jelas. Ini kerana, antara beberapa faktor kunci yang membawa kepada penubuhan badan bukan kerajaan ialah kerana adanya pandangan yang mengatakan parti politik sukar dijadikan struktur bagi menyuarakan pelbagai kepentingan politik masyarakat. Ada pihak yang mengatakan sifat perkauman yang ada pada hampir semua parti politik, menghalang keberkesanan untuk menyuarakan kepentingan politik masyarakat yang bukan perkauman (non communal) dan rentas budaya (cross culture) seperti kepentingan kepenggunaan, alam sekitar, kepekaan jantina, hak asasi dan seumpama. Selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pelbagai usaha dilakukan, sama ada menubuh atau terus menggiatkan kegiatan berpersatuan yang bukan perkauman dan rentas budaya seperti persatuan pengguna, pertubuhan wanita, alam sekitar atau persatuan yang berslogankan kesedaran politik masyarakat. Ramai aktivis masyarakat yang berpandangan, bukan saja sifat perkauman yang ada parti politik itu menghalang keberkesanan menyuarakan kepentingan politik awam, malah pindaan dan penguatkuasaan beberapa akta kononnya memihak kepada parti politik dalam kerajaan semata-mata. Oleh itu, bermula satu era baru dalam politik Malaysia apabila kegiatan penyertaan politik yang sebelumnya membabitkan badan seperti parti politik, kesatuan sekerja dan media, bertambah dengan politik penyertaan badan bukan kerajaan. Pada 1981, satu cadangan dibuat bagi meminda Akta Pertubuhan 1966, sebahagiannya kerana sama ada kegiatan atau sumbangan kewangan yang dilakukan dan diperolehi oleh pertubuhan berkenaan masih tidak jelas dan meragukan, lebih-lebih lagi didapati sebahagiannya amat dipengaruhi oleh aktiviti pertubuhan radikal di luar negara. Bermula dari detik inilah didapati kegiatan penyertaan politik badan bukan kerajaan semakin giat dan lantang, khususnya dalam membantah pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Polis dan akta lain termasuk Akta Pertubuhan sendiri. Oleh itu, beberapa persoalan wajar diketengahkan apabila didapati wujud pembabitan beberapa masyarakat dan pemimpin badan bukan kerajaan dalam parti politik secara aktif. Adakah pandangan mereka bahawa kepentingan politik masyarakat yang selama ini dikatakan hanya berkesan disuarakan melalui penyertaan badan bukan kerajaan sudah berubah? Atau sebenarnya penyertaan mereka dalam parti politik hanya manifestasi simpati terhadap tokoh tertentu, yang dikuatkan dengan rasa ketidakpuasan hati terhadap pemimpin? Ini adalah satu paradoks politik kerana mereka yang sebelum ini berpandangan bahawa parti politik tidak sesuai bagi saluran menyuarakan kepentingan awam, dan mereka sendiri mengatakan pilihan raya hanya menguntungkan parti politik dalam kerajaan semata-mata kini menyertai parti politik dan berhasrat pula bertanding dalam pilihan raya. Badan bukan kerajaan harus jadikan sebagai struktur politik yang benar-benar bertanggungjawab bagi menyuarakan pelbagai kepentingan awam yang diwakilinya. Apabila ada campur-aduk antara aktiviti badan bukan kerajaan dengan parti politik, dikhuatiri keberkesanan penyertaan politik badan bukan kerajaan mewakili kelompok tertentu akan menjadi lemah dan terjejas. Ini lebih merumitkan lagi sekiranya aktivis yang menyertai parti politik berkenaan dengan menggunakan badan bukan kerajaan untuk memperluaskan dan memperkuat sokongan dan pengaruhnya dalam parti politik berkenaan. Kalau diperhatikan, banyak pihak yang bukan saja berpandangan negatif dan curiga terhadap aktiviti sesetengah badan bukan kerajaan, malah ramai pemimpin badan bukan kerajaan terbabit tidak dikenali oleh masyarakat akar umbi, meskipun mendakwa perjuangan mereka adalah untuk kepentingan masyarakat di pelbagai peringkat yang dikatakan diwakili badan berkenaan. Sebenarnya, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh pemimpin badan bukan kerajaan bagi memadam dan mengikis beberapa kekeliruan serta pandangan negatif terhadap badan bukan kerajaan dan seterusnya berusaha memperjuangkan secara berkesan kepentingan kelompok yang diwakilinya. Sesetengah pihak menganggap kebanyakan badan bukan kerajaan yang berpolitik lebih cenderung menganjurkan kegiatan yang dipengaruhi oleh pemikiran badan bukan kerajaan di Barat. Selain itu, sebahagian aktiviti badan bukan kerajaan itu pula mendapat pembiayaan daripada sumber kewangan dari negara barat. Dari sudut lain, kemungkinan wujud konflik antara dua negara merdeka tercetus disebabkan adanya badan bukan kerajaan yang mendapat sumber asing berkecenderungan lebih mengutamakan dasar dan program negara yang menyumbangkan bantuan berbanding dasar dan program negara sendiri, tidak dapat dielakkan 100 peratus. Dalam beberapa kajian, ada beberapa pihak yang mendapati bahawa penubuhan badan bukan kerajaan amat dipengaruhi oleh konflik dan perpecahan dalam beberapa pergerakan sosial yang berpunca daripada kelemahan dan kehancuran fahaman komunis dan sosialis. Kelemahan dan kehancuran pergerakan itu menyebabkan mereka mencari-cari pendekatan dan ideologi baru bagi menghidupkan semula pergerakan sosial itu. Umumnya, pergerakan sosial yang dikatakan berupaya menyatukan perpecahan itu amat dipengaruhi pula oleh fahaman neo-liberal barat. Perkembangan sedemikian menyebabkan ramai pihak yang meragui perjuangan badan bukan kerajaan. Ini kerana, kebanyakan aktivitinya didapati lebih tertumpu di kalangan golongan profesional dan kelas pertengahan, yang menyukarkan penyertaan masyarakat akar umbi dan tempatan, lantaran prinsip dan falsafahnya yang cenderung elitis. Tidak dapat dinafikan struktur badan bukan kerajaan amat diperlukan bagi memenuhi tuntutan masyarakat yang semakin kompleks justeru pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sosio budaya di negara ini. Oleh itu, lebih ramai pemimpin yang altruistik diperlukan bagi membolehkan pelbagai kepentingan masyarakat berkenaan disuarakan secara lebih tersusun dan berkesan. Janganlah hendaknya badan bukan kerajaan dijadikan batu loncatan bagi mengembang dan memperluaskan pengaruh dan kepentingan individu tertentu. Masyarakat akar umbi lebih berminat dan tertarik dengan kegiatan dan falsafah badan bukan kerajaan sekiranya pandangan negatif mengenai badan bukan kerajaan itu dapat dibersihkan oleh pemimpinnya dan pada masa yang sama kegiatannya lebih sesuai dengan kepentingan masyarakat setempat dan budaya politik negara. Secara umumnya, badan bukan kerajaan di Malaysia bergiat dan membabitkan diri dalam persoalan-persoalan alam sekitar, perlindungan dan hak pengguna, hak asasi manusia, isu-isu pembangunan dan gerakan feminisme. Mengikut Syed Husin Ali, corak dan sifat kerajaan yang autoritarian adalah antara punca kemunculan badan bukan kerajaan yang pesat di Malaysia selain faktor ideologi pembangunan yang dianut kerajaan sejak 1970-an lagi. Perkembangan ini juga dikaitkan dengan fenomena global mengenai gerakan perubahan masyarakat khususnya apa yang berlaku di Barat yang disebut juga sebagai lahirnya era new politics. Bagaimanapun, badan bukan kerajaan dalam pengertian pertubuhan bukan kerajaan an sich yang maksudnya tanpa adanya dikotomi badan bukan kerajaan politik dan bukan politik sudah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Apa yang ketara dalam kedinamikan perjalanan badan bukan kerajaan dalam masa yang cukup panjang itu adalah berlakunya sebuah proses transformasi ideologis dan sosiologis berikutan semakin membaiknya tingkat pendidikan dan ekonomi rakyat negara ini. Dilihat dari sifat dan agenda perjuangannya, terdapat dua kategori badan bukan kerajaan iaitu badan bukan kerajaan politik dan badan bukan kerajaan bukan politik Pengkategorian ini berdasarkan kepada isu-isu yang diperjuangkan dan matlamat utama yang menjadi halatuju organisasi. Menurut Saliha, badan bukan kerajaan politik merujuk kepada penglibatan mereka kepada isu-isu yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi dan pentadbiran sama ada secara langsung dan sengaja atau secara kebetulan dan berpilih-pilih. Manakala badan bukan kerajaan bukan politik tidak melibatkan diri secara langsung dalam proses politik negara namun sebaliknya menumpukan perhatian terhadap isu-isu kebajikan, khidmat masyarakat, rekreasi, kebudayaan, kepenggunaan dan perdagangan. Bidang-bidang yang dikerjakan badan bukan kerajaan bukan politik ini bersifat melengkapi dan mengisi kerja di bahagian-bahagian yang selama ini kurang mendapatkan tumpuan institusi pemerintah seperti kempen masalah kesihatan, alam persekitaran dan kesejahteraan sosial. Bagaimanapun, di Malaysia badan bukan kerajaan lebih popular dalam kategori badan bukan kerajaan politik kerana pelbagai aktivitinya yang menyerlahkan dimensi politiknya berbanding badan bukan kerajaan bukan politik kerapkali mendapat perhatian pihak kerajaan. Ini adalah wajar memandangkan aspek-aspek politik biasanya menarik minat orang ramai untuk mengetahui perkembangan semasa politik negara apatah lagi apabila ia mendapat liputan dari media massa. Oleh itu, kewujudan dan peranan badan bukan kerajaan politik di Malaysia kerana sifatnya yang sedemikian seringkali mengundang kecurigaan dan tidak disenangi kerajaan. Dalam banyak hal, badan bukan kerajaan yang bersifat politik terutama bagi badan bukan kerajaan yang ditubuhkan dengan tujuan menciptakan ideologi alternatif, boleh dikatakan cenderung antagonistik terhadap dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak sesuai dengan prinsip-prinsip demokrasi Badan bukan kerajaan dapat dihuraikan dengan tujuannya berdasarkan teori pluralisme iaitu satu keadaan yang mana terdapat pelbagai kumpulan berkepentingan dalam satu arena politik. Seterusnya, kumpulan-kumpulan ini bersaing untuk mempromosikan kepentingan masing-masing dan ia mempengaruhi pembentukan undang-undang dan dasar-dasar kerajaan. Kenyataan ini sesuai dengan pendapat Baradat (1979), bahawa proses pembuatan keputusan merupakan satu keadaan persaingan yang mana terdapat pelbagai kumpulan pendesak mewakili kepentingan masing-masing untuk menghasilkan dasar kerajaan yang merupakan satu bentuk manifestasi dan kompromi terhadap tuntutan kumpulan-kumpulan tersebut. Dalam hal ini, kerajaan mesti bersifat bebas agar dasar yang dibentuk tidak bersifat bias atau berat sebelah pihak sahaja. Terdapat pelbagai penggunaan kaedah oleh badan bukan kerajaan untuk menarik perhatian pembuat-pembuat dasar. Badan bukan kerajaan telah menggunakan teknik melobi, demonstrasi dan menarik perhatian umum seperti pengedaran risalah, syarahan umum dan promosi kepada orang awam. Maka, kaedah-kaedah ini akan dapat merealisasikan hasrat badan bukan kerajaan untuk mencapai matlamat dan kepentingan masing-masing baik dalam isu pembangunan ekonomi atau pembangunan politik Negara Bahagian ini akan menjelaskan kewujudan pelbagai badan bukan kerajaan dalam yang mengiktiraf kepelbagaian kumpulan-kumpulan berkepentingan dalam sistem politik negara. Penghuraian ini penting kerana ia dapat membantu untuk memahami bagaimana badan bukan kerajaan mendapat keabsahan, autoriti dan kesignifikanannya dalam mempengaruhi isu politik di Malaysia. Badan-badan bukan kerajaan diabsahkan kewujudannya berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 10. Kebebasan untuk bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan. Walaubagaimanapun, badan bukan kerajaan harus mendaftarkan kumpulan melalui Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia (JPPM) berdasarkan kehendak Akta Persatuan 1966. Setelah itu, badan bukan kerajaan akan diiktiraf sebagai sebuah badan yang berautoriti. Peranan badan bukan kerajaan penting untuk membangun suatu masyarakat dan bangsa. Ini disebabkan kerana banyak pembiayaan dari perorangan, institusi dan pemerintah untuk masyarakat disalurkan melalui badan bukan kerajaan. Sejak tahun 1970-an, lewujudan badan bukan kerajaan telah bertambah banyak. Walau pun badan bukan kerajaan bukan parti politik, tetapi mereka juga tidak boleh berpisah daripada prinsip yang saya sebut tadi. Badan bukan kerajaan juga perlu berjuang atas nilai-nilai sejagat seperti demokrasi, keadilan, kebebasan, kesaksamaan, setiakawan dan keamanan. Kesejahteraan rakyat juga merupakan matlamat muktamad mereka Peranan badan bukan kerajaan di Malaysia juga amat penting dalam penentuan bentuk demokrasi negara dan nasib rakyat jelata. Badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh parti-parti politik kerana badan bukan kerajaan merupakan satu kuasa non-partisan. Badan bukan kerajaan boleh menggunakan sifat non-partisan ini untuk menyatupadukan parti-parti politik yang menganut kepercayaan politik yang berlainan. Kadang-kadang rakyat merasa lebih selesa dan lega untuk berjuang bersama-sama menggubah satu program alternative yang dapat menjamin kestabilan, pembangunan dan keutuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Badan bukan kerajaan di tanahair kita ini telah memainkan satu peranan yang penting dan positif untuk mengekalkan kestabilan politik sejak kemerdekaan negara Malaysia Banyak suara dari badan bukan kerajaan mengegur kerajaan supaya mengamalkan prinsip dan cara perjuangan melalui sistem pemilihan demokratik.misalnya untuk menghormati keputusan pengundi dan pilihan rakyat. Tidak menggunakan wang politik, manipulasi sistem pengundian, penguasaan media dan taktik-taktik kotor yang lain untuk mengekalkan kuasa pemerintahan mereka. Terdapat beberapa persamaan antara badan bukan kerajaan di Malaysia dan negara-negara maju. Antaranya ialah menyediakan fungsi semak dan imbang (check and balance) dalam sesebuah sistem politik terutamanya dalam hal-hal berkaitan pembentukan dasar dan matlamat sesebuah kerajaan. Badan bukan kerajaan juga berperanan untuk menyedarkan masyarakat tentang adanya hak semulajadi dan hak sivil juga badan bukan kerajaan tidak kira di Malaysia atau di negara-negara maju memainkan peranan dalam jaminan sosial terhadap para pekerja, pengguna dan kumpulan sasaran tertentu. Di Malaysia penglibatan badan bukan kerajaan dalam proses pembangunan politik dilihat amat penting samada menyokong atau mendesak kerajaan mengenai apa sahaja tindakan yang diambil oleh kerajaan dapat diimbangi jika masyarakat merasakan tindakan tersebut dibuat tidak memberi kebaikan kepada masyarakat serta dilaksanakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan sebelah pihak sahaja. Pengelibatan badan bukan kerajaan dalam pembangunan politik sebagai satu platform atau asas kepada kerajaan samada menilai serta menghalusi semula setiap tindak-tinduk yang diambil oleh kerajaan harus mengambilkira pelbagai aspek demi kepentingan negara dan rakyatnya. Ini kerana apa sahaja dibuat, sudah pasti ia member impak kepada rakyat maka rakyat akan menerima kesan dari tindak tersebut. Ini perlu dibuat atas kepentingan dan kestabilan politik kerana negara kita mempunyai masyarakat yang berbilangan kaum Perkasa merupakan salah satu badan bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam pembangunan Politik Malaysia. Tujuan Perakasa ditubuhkan adalah bagi menyediakan landasan untuk kaum pribumi menegakkan hak-hak mereka tanpa mengira fahaman politik selain itu juga bertindak sebagai badan berkecuali untuk menangani isu-isu semasa yang membabitkan pribumi. Selain itu Perkasa ingin memperjuangkan serta mengekalkan keharmonian antara masyarakat berbagai kaum di Malaysia dan dari itu hanya dengan memahami sejarah serta menerimaan perjuangan bangsa, toleransi dan mufakat kaum pribumi serta menghormati kontrak sosial oleh kaum lain baru usaha membangun bangsa Malaysia berasaskan acuan kita sendiri. Antara peranan yang diperjuangkan oleh Perkasa ialah memperkasakan Islam sebagai Agama Persekutuan, memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan, memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu, mempertahankan hak-hak Keistimewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi, menyatupadukan kaum pribumi dengan peperaduan rakyat Malaysia dan mempertahankan Kedaulatan Negara. Baru-baru ini Perkasa telah mendesak Pemimpin negara supaya tidak tunduk kepada pihak luar seperti desakan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) agar memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan alasan penggunaannya melanggar lunas perundangan dan hak asasi manusia di dalam sebuah negara demokrasi. Pendirian Perkasa jelas bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri masih sesuai untuk digunakan bagi menjamin kestabilan negara dan perlu juga dikekalkan bagi menjamin keamanan negara. Perkasa akan menentang sesetengah pihak yang cuba untuk mendesak atau mencadangkan agar memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri demi kepentingan negara Malaysia secara amnya. Pada sudut yang lain pula, Perkasa Pulau Pinang berpandangan serta menyarankan bahawa Pemimpin Melayu atau ahli politik Melayu harus diberi peluang mahupun dilantik sebagai Ketua Menteri kerana selama ini pemimpin yang pernah dilantikan adalah bukan orang Melayu. Alasan Perkasa untuk mendesak kerajaan kerana mereka merasa penindasan berlaku kerana tidak mengambilkira kepentingan kaum lain. Perkasa mencadangkan setidak-tidaknya mengamalkan corak Sistem Giliran seperti yang dilaksanakan di Negeri Sabah agar dapat mengelakkan berlaku konflik atau ada masyarakat lain merasa tertindas jika tidak diberi peluang. Sebagai kesimpulan perbincangan ini telah menjelaskan peranan yang dimainkan oleh badan bukan kerajaan dalam isu pembangunan poltik Malaysia., organis jelas bahawa badan bukan kerajaan sememangnya berperanan besar dalam isu pembangunan kerana ia mewakili kelompok masyarakat yang nyata terpinggir atau terlepas pandang dalam arus pembanguan politik yang kian dipengaruhi oleh sentimen-setimen yang sering dibangkitkan tanpa mengira atau menjaga perasaan mana-mana kaum asalkan kehendak pihak tertentu tercapai. Kesimpulannya, badan bukan kerajaan harus menjalankan peranan sebagai wakil kumpulan pekerja, pengguna dan semua etnik dengan lebih berkesan agar ia dapat memberi impak yang berterusan dalam pembangunan politik di Malaysia.

4 comments:

  1. bagaimanakah peranan NGO dalam memartabatkan bahasa melayu???????

    ReplyDelete
  2. cube la letak perenggan sikit!

    ReplyDelete
  3. saya sokong yg atas ni, susah betui nak baca

    ReplyDelete
  4. apa apa jelah anuar the best ><

    ReplyDelete