Saturday, February 11, 2012

PART 1- PENYELEWENGAN SOSIAL

Remaja dan Gengsterisme.
Pengenalan
Golongan remaja merupakan generasi yang bakal mewarisi negara kita pada masa akan datang. Pelbagai harapan diletakkan agar mereka berupaya menjadi individu yang berguna serta mampu menyumbang ke arah kesejahteraan negara secara keseluruhannya.
Namun pada realitinya, sejak akhir-akhir ini pelbagai pihak mula menaruh kebimbangan tentang berbagai gejala sosial yang melanda remaja dan seterusnya meruntuhkan akhlak anak-anak remaja masa kini. Sama ada disedari atau tidak, perkembangan gejala-gejala sosial ini semakin meningkat dari hari ke hari. Setiap hari dipaparkan berbagai cerita tentang pelbagai salah laku yang dilakukan oleh remaja baik salah laku yang kecil mahupun besar. Ini turut menggambarkan betapa seriusnya fenomena ini dan langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi membendungnya dari terus menjadi barah dalam masyarakat Malaysia.
Gengsterisme adalah sejenis tingkah laku yang sudah lama wujud di kalangan pelajar dan masih berterusan sehingga kini. Keadaan menjadi bertambah serius apabila pelajar perempuan dan murid sekolah rendah di kesan terlibat dengan gejala samseng yang dikenali sebagai gengsterisme. Peningkatannya kelihatan seiring degan kemajuan dan pembangunan negara. Thrasher (1961) mendefinisikan gang sebagai satu kumpulan yang mempunyai ciri-ciri seperti mengikut tingkah laku yang sama,perjumpaan secara bersemuka, gerakan secara berunit,konflik dan mempunyai perancangan.
Biasanya terdapat beberapa tanda penglibatan dalam kumpulan samseng. Sesetengah daripadanya jelas dan ada di antaranya yang memerlukan siasatan. Setiap kumpulan samseng mempunyai simbol dan ikonnya sendiri. Tidak kira sama ada mereka masih baru atau tidak penting dalam dunia gengsterisme ini, mereka mempunyai logo, tanda, atau isyarat mereka tersendiri
Masyarakat hari ini sedang dilanda kebinggungan dengan fenomena keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Apakah pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah itu? Bagaimana pula peranan ibu bapa dan keluarga? Bagaimanakah remaja boleh bertingkah laku sedemikian? Apakah punca yang membawa kepada berlakunya fenomena tersebut?
Definisi
Sepertimana Matza, David (1969) Becoming Devian, Enlewood Cliffs, NJ: Prentice- Hall menjelaskan ”According to any standard dictionary is still the best source of clearly stated norminal definitions - to deviate is to stray as from a path or standard”. Devian boleh dimaksudkan sebagai tingkahlaku yang anggap menyimpang atau melanggar norma-norma mahupun nilai-nilai kehidupan sosial yang normal yang tidak sepertimana yang diamalkan atau diterima oleh kebanyakan masyarakat.
Mengenai permasalah ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja dan belia dalam masyarakat kita. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan.
Secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat pun negara. Bagi perbincangan ini, isu devian terdiri daripada golongan remaja yang terlibat dalam pada masa kini amat membimbangkan pelbagai pihak samada keluarga mahupun masyarakat. Atas kepesatan pembangunan serta arus permodenan yang kita alami golongan remaja, merupakan yang amat mudah terpengaruh kepada gejala serta terjebak kepada masalah sosial pada masa kini. Masalah-masalah sosial yang maksudkan adalah seperti seperti jenayah, mencuri, merompak, merogol, merosakkan harta benda, menagih atau mengedar dadah dan membunuh. Apa yang menjadi persoalan kepada masyarakat kita kini kenapa ia berlaku dan apakah punca sehingga ramai kini sanggup menjadi mangsa kepada masalah sosial.
Mereka sanggup mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang. Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Perlu diingat bahawa gejala sosial ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah diperhatikan dan cuba ditangani sejak beberapa dekad lalu.
Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional. Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.
Menurut Hall (1904), remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan, kesedihan dan konflik. Oleh itu,adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja, serta wajar membantu remaja supaya dapat mengelakkan diri dari terjebak dengan kegiatan yang negatif. Remaja terutamanyaa pelajar sekolah akan mudah terpengaruh dan suka mengabaikan pelajaran jika tidak dikawal atau kurang diberi perhatian. Ekoran daripada itu ia akan menghasilkan remaja yang tidak produktif seperti melepak, mencuri, ponteng sekolah dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Perkembangan remaja amat dipengaruhi oleh persekitarannya. Persekitaran yang terdekat dan terpenting buat remaja ialah keluarga mereka. Kadar jenayah dan masalah sosial yang semakin meningkat, khususnya di kalangan remaja dan pelajar sekolah bukan sahaja membimbangkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tetapi ia turut memberi impak terhadap kredibiliti sekolah sebagai agen kawalan sosial yang seharusnya berperanan dalam pembentukan moral dan tingkah laku generasi muda. Pelbagai tafsiran atau label yang boleh diberikan kepada remaja-remaja yang bertingkah laku sedemikian.
Bagi remaja yang melanggar norma masyarakat setempat ini dikenali sebagai kumpulan yang bertingkah laku devian dan apabila golongan ini merujuk kepada mereka yang masih bersekolah atau remaja bawah umur, mereka dikenali sebagai delinkuen. Secara umumnya, devian atau delinkuen adalah tingkah laku yang melanggar peraturan atau bertingkah laku yang tidak dapat diterima oleh masyarakat. Walaupun pelbagai peraturan dan disiplin telah ditetapkan oleh pihak sekolah, namun perbuatan salah laku pelajar tetap berlaku. Antara masalah yang begitu ketara ialah berkaitan dengan tingkah laku devian dan delinkuen di kalangan pelajar remaja. Menurut laporan akhbar, jumlah kes yang dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa tidak mengira kawasan, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, pinggir bandar dan sebagainya.
Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja dewasa ini dimana ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja malahan boleh mengganggu-gugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Ia perlu ditangani kerana gengsterisme boleh mempengaruhi pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol dan rogol.